BENTUK WAJAH DAN GAYA RAMBUT
Banyak faktor yang mempengaruhi kesesuaian gaya rambut, misalnya usia, karektor dan pakaian yang disarung di badan. Tetapi, seperkara yang sebenarnya amat mempengaruhi ialah bentuk wajah individu itu. Bukan semua wajah sesuai dengan sesuatu gaya rambut.
Secara asasnya, bentuk wajah menjadi panduan kepada penggayaan rambut. Lelaki memiliki pelbagai bentuk wajah, empat segi, lonjong (oblong), bujur, bulat, segi tiga, berlian dan pear.
Majoriti lelaki mempunyai wajah berbentuk empat segi. Demikian menurut seorang pakar pendandan rambut selebriti, Robert Hallowell. Ini kerana lelaki kebiasaannya mempunyai garis rahang yang kuat dan ia nampak paling klasik, rugged dan maskulin.
Berikut adalah panduan bentuk-bentuk wajah lelaki, contoh selebriti dan gaya rambut yang bersesuaian dengan bentuk wajah berkenaan.
Empat segi (petak)
Bentuk wajah ini paling lazim dalam kalangan lelaki dan merupakan wajah paling versatil selepas bujur. Jika anda memiliki wajah ini, anda boleh dianggap bertuah kerana berwajah maskulin dan agak versatil. Anda sesuai menggayakan hampir apa sahaja gaya rambut termasuk keriting. Anda boleh membuat rambut spikey (cacak), flat dengan gaya messy. Seeloknya, lakukan potongan clean cut pada sekitar telinga. Selagi mana ia tidak menyembunyikan kemaskulinan wajah anda, anda digalakkan menggayakannya. Elakkan rambut melepasi dagu.
Bujur:
Bentuk wajah seperti telur ini, agak feminin tetapi bertuah kerana boleh disesuaikan dengan apa jua gaya rambut. Anda sesuai untuk berambut pendek atau panjang. Ini kerana, anda mempunyai garis rambut pada dahi yang versatil. Potongan rambut bertingkat serba sedikit menyuntik ciri maskulin.
Bulat:
Muka bulat sering dilambangkan sebagai bermuka penuh dengan garis dahi dan garis dagu yang bulat serta nampak ketara pada pipi. Anda perlu memilih potongan rambut yang dapat mengurangkan 'kelembutan' pada garis rahang anda. Menipiskan bahagian tepi dan belakang nampak lebih baik. Elakkan memilih potongan rambut yang membuatkan wajah anda lebih bulat seperti keriting atau bob. Elakkan juga potongan rambut yang menutup dahi.
Tiga segi
Wajah ini amat tirus di dagu tetapi dengan kombinasi wajah berbentuk petak. Agak sukar untuk memilih gaya rambut kerana gaya rambut yang dipilih perlulah tidak memperlihatkan dagu lebih tirus. Sebaiknya ikut seperti Justin Timberlake yang memotong rambut serapatnya dengan kepala serta berdekatan pelipis tetapi rambut di bahagian belakang biarkan panjang dan lebat.
Berlian: Wajah ini mempunyai bahagian yang paling luas di tulang pipi tetapi menirus di dahi dan rahang. Jadi, anda seharusnya memilih potongan rambut yang dapat memberikan ilusi lebar. Anda sesuai berambut panjang dan sebenarnya sesuai bermisai atau janggut untuk menyeimbangkan bahagian wajah anda yang tirus. Potongan menutup dahi juga membantu. Elakkan potongan yang menambah ketinggian rambut seperti spikey atau terlalu pendek seperti potongan buzz.
Pear: Wajah ini menirus di bahagian atas tetapi melebar di bahagian bawah. Rahang dan dagu kelihatan lebih bersifat membulat. Wajah sebegini patut diseimbangkan dengan gaya rambut lebat di bahagian atas kepala dan sekitar pelipis.
Lonjong (empat segi panjang)
Wajah ini mempunyai dahi yang tinggi dan dagu yang panjang. Wajah jenis ini juga tidak mempunyai banyak masalah. Anda boleh berambut panjang dengan potongan bertingkat atau potongan amat pendek buzz seperti Wenworth Miller. Potongan menutup dahi yang messy juga kelihatan baik untuk anda. Cuma, digalakkan anda tidak menambah panjang di bahagian atas rambut. Jika anda tambah, wajah anda akan kelihatan lebih panjang.
Leave a comment